Senin, 22 Oktober 2012

REVISI BIBEL

 
Mana satu firman Tuhan yang Sebenarnya?

Antara tulisan terawal yang diiktiraf sebagai ‘kalam Tuhan’ oleh gereja Kristian adalah kitab Muratorian Canon pada hujung abad ke-2 Masihi. Kitab ini tidak memuatkan bab-bab seperti Yakobus, 3 Yohanes serta 1 dan 2 Petrus di dalamnya. Ia juga tidak mengiktiraf buku Shepherd of Hermas dan surat-surat St. Paul kepada golongan Laodikia dan Alexandria. Pada tahun 200 Masihi, masyarakat Kristian mula mengiktiraf keempat-empat Gospel, bab Kisah Para Rasul, surat-surat St. Paul, 1 Petrus dan 1 Yohanes sebagai kalam Tuhan. Pada tahun 363 Masihi, Council of Laodicea mengiktiraf kesemua 26 bab Perjanjian Baru selama kalam Tuhan dan menolak bab ‘Wahyu’. Namun, atas cadangan St. Athanasius pada tahun 367 Masihi, kesemua 27 bab Perjanjian Baru termasuk bab ‘Wahyu’ diiktiraf sebagai kalam Tuhan. Dengan ini, lahirlah Bible yang dikenali pada hari ini iaitu 66 bab, 39 bab Perjanjian Lama dan 27 bab Perjanjian Baru.

Salah satu kontroversi yang hangat diperkatakan sehingga kini adalah 7 buah bab tambahan yang terdapat di dalam bahagian Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Apokrifa. Mazhab Protestan tidak menerima Apokrifa sebagai kalam Tuhan, berbeza dengan Mazhab Katolik yang mengiktiraf Apokrifa sebagai kalam Tuhan setanding dengan bab-bab lain di dalam Bible. Pihak Katolik menerima Apokrifa sebagai kalam Tuhan kerana ia selari dengan pendirian tokoh-tokoh Kristian terdahulu. Justeru, pihak Katolik menerbitkan Bible edisi Geneva pada tahun 1560 Masihi dengan memasukkan Apokrifa di dalamnya. Pihak Protestan pula menentang penerbitan Bible ini dengan menerbita edisi King James. Akhirnya Bible King James mendominasi dunia Kristian. Justeru, sekitar tahun 1769 Masihi, Apokrifa dibuang sepenuhnya daripada Bible sehingga kini.

Terdapat satu lagi versi Bible yang dipegang oleh Mazhab Ortodoks. Bible mereka berbeza sama sekali dengan Bible Protestan dan Katolik. Bagi mereka, bab-bab di dalam Bible berjumlah 76 buah kesemuanya, 39 bab Perjanjian Lama dan 27 bab Perjanjian Baru di samping 10 bab Apokrifa sebagai tambahan.

Justeru, Bible yang mana satukah patut diterima sebagai kalam Tuhan oleh penganut Kristian? Adakah Bible Protestan yang mengandungi 66 bab tanpa Apokrifa, atau Bible Katolik yang mengandungi 73 bab termasuk 7 bab Apokrifa, atau Bible Ortodoks yang mengandungi 76 bab termasuk 10 bab Apokrifa? Bukankah perbezaan seperti ini menunjukkan dengan jelas bahawa Bible bukanlah kalam Tuhan? Ia adalah sebuah kitab yang ditulis oleh manusia biasa dan akibatnya wujud pelbagai versi Bible yang berbeza antara satu sama lain. Hal ini sangat berbeza dengan al-Quran yang hanya mempunyai satu versi sahaja dan ia adalah naskhah yang sama digunakan oleh umat Islam di seluruh dunia dari dahulu hingga sekarang.

Kini, terdapat banyak versi-versi Bible yang wujud. Setiap satu versi mendakwa bahawa ia adalah kalam Tuhan yang sebenarnya. Antaranya adalah:

Miles Coverdale Version of the Bible (1535 Masihi)
Matthew Version of the Bible (1537 Masihi)
The Great Version of the Bible (1539 Masihi)
Geneva Version of the Bible (1560 Masihi)
Rheims-Douai Version of the Bible (1582 Masihi, 1609 Masihi)
King James Version of the Bible (1611 Masihi)
English Revised Version of the Bible (1881-1885 Masihi)
Revised Standard Version of the Bible (1952 Masihi)
Jerusalem Version of the Bible (1966 Masihi)
New English Version of the Bible (1970 Masihi)
New American Version of the Bible (1970 Masihi)
New International Version of the Bible (1973-1978 Masihi)
New King James Version of the Bible (1982 Masihi)
Tanakh: The Holy Scriptures (1985 Masihi)
New Revised Standard Version of the Bible (1990 Masihi)

Terdapat tokoh-tokoh Kristian yang masih berdalih dengan versi Bible yang pelbagai ini. Mereka masih ingin menutup kesalahan Bible yang dipenuhi dengan pelbagai percanggahan dan kesilapan. Mereka mengatakan bahawa kewujudan versi Bible adalah disebabkan kelainan dalam terjemahan tanpa mengubah jalan ceritanya yang asal.

Namun, hal ini disangkal oleh Dr. Daniel B. Wallace di dalam Why So Many Versions. Beliau menegaskan, “Jika benar dakwaan itu, ke manakah perginya sesetengah ayat? Terjemahan moden sudah membuang banyak ayat-ayat bernilai di dalam Bible. Mereka menamatkan bab 16 daripada Injil Markus pada ayat kelapan, kemudian mereka membuang kisah malaikat yang mengocakkan air di kolam Bethesda di dalam Injil Yohanes bab 5 ayat 4. Paling ketara, mereka membuang kisah wanita berzina yang pada asalnya terdapat di dalam Injil Yohanes bab 8. Di samping itu, terjemahan moden juga membuat perubahan drastik ke atas teks… Secara keseluruhannya, ratusan perubahan dilakukan dalam terjemahan moden berbanding Bible versi King James.”

Jay P. Green, editor dan penterjemah Interlinear Greek-English New Testament pula berkata, “Berhubung dengan versi-versi Bible yang baru seperti New International Version, New Jerusalem Version dan beberapa versi yang lain, di samping terdapat tokok tambah di dalamnya, banyak perkataan dan ayat dibuang sesuka hati sehingga mencapai empat muka surat. Padahal tulisan-tulisan ini adalah kata-kata asal Tuhan seperti yang terdapat di dalam manuskrip Yunani.”

Akhir sekali, timbul satu persoalan besar yang harus dijawab oleh segenap penganut Kristian. Persoalan ini ditimbulkan oleh David B. Laughran melalui artikelnya Bible Versions: Which is the Real Word of God? Beliau menukilkan, “Persoalannya sekarang adalah Bible versi manakah yang patut diiktiraf sebagai kalam Tuhan. Semua orang faham, dengan percanggahan-percanggahan yang wujud di dalam Bible, kita tidak dapat mengatakan bahawa kesemuanya adalah kalam Tuhan. Tuhan tidak mungkin akan menyebabkan percanggahan seperti itu.”

Tidak ada komentar:

Posting Komentar